Showing posts with label Karangan Bahagian B SPM. Show all posts
Showing posts with label Karangan Bahagian B SPM. Show all posts

Friday, April 19, 2013

Pembuangan Bayi



Karangan  Pembuangan  Bayi.


Soalan -           Anda  akan  menyertai  pertandingan  pidato  sempena  Kempen  Bulan  Bahasa peringkat  daerah.  Tajuk  pidato  anda  ialah  "Membanteras  Gejala  Pembuangan  Bayi". 
Sediakan  teks  pidato  itu  selengkapnya.


Assalamualaikum  Warahmatullahiwabarakatu  dan  selamat  sejahtera.


Sejambak  kasih,  sekalung  budi,  saudari  pengerusi  majlis,  barisan  panel  hakim  yang  arif  lagi  berkarisma,  penjaga  masa  yang  setia,  yang  dimuliakan  pendidik  keringat  serta  rakan-rakan  seperjuangan.  Sambutlah  salam  sejahtera  dan  salam  satu  Malaysia  saya.


Keindahan  alam  kekal  hakiki,

Hati  terpikat  pemandangan  seyojana,

Dilantai  ini  hamba  jejaki,

Merungkai  frasa  penuh  bermakna.


Sebelum  bibir  mengorak  bicara,  sebelum  hujah  dimapankan  bukti,  biarlah  saya  canangkan  dahulu  tajuk  pidato  saya  yang  berbunyi  “Membanteras  Gejala  Pembuangan  Bayi.”  Maka,  izinkan  saya  merungkai  misteri  kalimat  yang  menyembunyikan  setiap  frasa  tajuk  kita  hari  ini.  Mengikut  Kamus  Dewan  Edisi  Keempat,  pembuangan  membawa  maksud  perihal  membuang  manakala  frasa  bayi  pula  ialah  anak  kecil  yang  baru  dilahirkan.  Jelaslah,  rangkai  kata  pembuangan  bayi  bermaksud  perihal  membuang  anak  kecil  yang  baru  dilahirkan.  Isu  pembuangan  bayi  sering  meniti  di  bibir  ke  bibir  umat  manusia  di  segenap  empat  penjuru  dunia.  Isu  ini  juga  sering  dipaparkan  di  kaca  televisyen  dan  di  dada  akhbar.  Hal  ini  demikian  kerana  kadar  jenayah  pembuangan  bayi  kian  meningkat  dan  menjadi  buah  mulut  orang  ramai.  Tindakan  membuang  bayi  ini  adalah  jenayah  yang  amat  besar  dosa  dan  hukumannya  dalam  Islam.  Firman  Allah  s.w.t  dalam  surah  An-Nisa  ayat 93,  “Dan  sesiapa  yang  membunuh  seorang  mukmin  dengan  sengaja,  maka  balasannya  ialah  neraka  jahanam  kekal  dia  didalamnya  dan  Allah  murka  kepadanya  dan  melaknat  akannya  serta  menyediakan  azab  seksa  yang  besar”.  Oleh  itu,  gejala  pembuangan  bayi  harus  dihapuskan  hingga  ke  akar  umbinya  agar  Malaysia  bebas  jenayah  pembuangan  bayi.


Saudara  saudari  yang  dihormati  sekalian,


            Indikator  saya  yang  pertama,  memberi  motivasi  atau  ceramah  kesedaran  khususnya  buat  para  remaja.  Motivasi  tersebut  tidak  perlu  diberi  oleh  kaunselor  atau  penceramah  yang  termasyhur  lagikan  hebat  dengan  membayar  bayaran  yang  amat  lumayan.  Sedangkan  pendidik  yang  paling  hampir  dengan  remaja  datangnya  daripada  ibu  bapa.  Ibu  bapa  boleh  memberi  motivasi  atau  ceramah  ringkas  tentang  kebejatan  moral  kini,  biasanya  keluarga  akan  menjamu  selera  makan  malam  bersama.  Waktu  itulah  yang  terbaik  bagi  ibu  bapa  menyentuh  isu-isu  yang  berkaitan  dengan  remaja.  Jika  di  sekolah,  munkin  guru-guru  kaunselor  ataupun  pihak  sekolah  memanggil  penceramah  dari  luar  untuk  menyampaikan  motivasi  remaja.  Mereka  pasti  akan  mendedahkan  berkenaan  video-video  kesan  buruk  akibat  kebobrokan  sosial  dan  pembuangan  bayi.  Memberi  kesedaran  kepada  para  remaja  untuk   kembali  ke  pangkal  jalan  jika  sudah  terlanjur.  Program  sebegini  mampu  untuk  menginsafkan  para  anak  watan  pewaris  bangsa  serta  menyakinkan  mereka  bahawa  masih  ada  peluang  untuk  mereka  diterima  oleh  masyarakat.  Pastinya  semangat  mereka  akan  bangkit  semula.  Seterusnya,  program  tersebut  juga  bakal  menimbulkan  perasaan  gerun  akan  hukuman  dan  dosa  yang  bakal  diterima  oleh  mereka  jika  perbuatan  terkutuk  itu  dilakukan.  Umpama  pepatah  sesal  dahulu  pendapatan,  sesal  kemudian  tiada  gunanya  menjelaskan  tentang  wajarlah  beringat  sebelum  nasi  menjadi  bubur.  Jelaslah  program  sebegini  dapat  membuka  mata  remaja  berkenaan  padah  yang  diterima  daripada  aktiviti  gejala  sosial  dan  pembuangan  bayi.


Hujah  saya  yang  kedua  terangkum  dalam  aspek  pendidikan  awal.  Ibu  bapa  memainkan  peranan  penting  dalam  memberi  pendidikan  awal  kepada  anak-anak.  Intrinsik  seseorang  individu  itu  amat  berkait  rapat  dengan  didikan  awal  yang  diberikan  oleh  ibu  bapa.  Ibu  bapa  tidak  seharusnya  memberi  pendidikan  sahaja  tetapi  mereka  perlu  menjadi  contoh  ataupun   suri  teladan  kepada  anak-anak,  janganlah  jadi  seperti  ketam  mengajar  anaknya  berjalan  betul.  Jika  ibu  bapa  tersilap  langkah  dalam  mendidik  anak-anak,  padah  yang  buruk  bakal  diterima  kerana  didikan  ibu  bapalah  yang  membentuk  diri  anak  itu.  Sesungguhnya  seseorang  anak  itu  mencerminkan  ibu  bapanya.  Sifat  ibu  bapa,  sifatnya  juga.  Biarlah  sejak  kecil  lagi  anak-anak  perlu  tahu  akan  kesan  buruk  gejala  sosial  serta  pengertian  pembuangan  bayi,  persis  pepatah  Melayu  “melentur  buluh  biarlah  dari  rebungnya”.  Semua  ibu  bapa  pasti  tahu  akan  minat  anak-anak  mereka.  Anak-anak  lebih  gemar  bermain  daripada  mendengar  kata-kata  yang  dikalafkan  oleh  ibu  bapa.  Mereka  sering  lalai  dengan  keseronokan  dunia  walaupun  di  usia  yang  muda.  Ibu  bapa  harus  menggunakan  cara  yang  serasi  dengan  kanak-kanak  kini  iaitu  belajar  sambil  bermain.  Ibu  bapa  boleh  menggunakan  wadah  pembelajaran  yang  menyeronokkan  seperti  anak  patung  mampu  digerakkan  oleh  ibu  bapa  supaya  melakonkan  perkara  yang  tidak  seharusnya  diikut.  Selain  itu,  di  rumah  merupakan  waktu  pembelajaran  yang  tidak  formal.  Pada  zaman  dahulu,  selalunya  ibu  bapa  akan  menyampaikan  pantun-pantun  atau  cerita  yang  memberi  pengajaran  serta  nilai-nilai  murni.  Tidak  salah  jika  ibu  bapa  zaman  kini  menerapkan  cara  tersebut  di  rumah  bersama  anak-anak.  Ibu  bapa  perlu  membentuk  anak-anak  agar  tidak  terjebak  dengan  perkara  negatif.  Anak-anak  umpama  sehelai  sutera  putih,  ibu  bapalah  yang  bakal  menyorakkannya  sama  ada  Majusi,  Yahudi  mahupun  Nasrani.  Oleh  itu,  didikan  yang  sempurna  haruslah  diberi  kepada  anak-anak  agar  gejala  pembuangan  bayi  ini  dapat  dibendung  sekali  gus  dapat  dilenyapkan  dari  muka  bumi.


Hadirin  yang  saya  muliakan,


            Idea  saya  yang  ketiga  berpandukan  perspektif  penjiwaan  dalam  ilmu  agama.  Para  remaja  perlu  mendalami  ilmu  agama  di  usia  yang  seawal  mungkin  bagi  memandu  hala  tuju  hidup  mereka.  Jika  awal-awalnya  sudah  tersasar  ke  jalan  yang  terpesong,  cepat-cepatlah  kembali  ke  pangkal  jalan.  Sesungguhnya  masih  ada  masa  dan  tidak  terlambat  lagi  untuk  berhijrah.  Keimanan  yang  mapan  dan  pegangan  agama  yang  mantap  dapat  menjadi  benteng  pertahanan  buat  para  anak  watan  pewaris  bangsa  dari  sebarang  anasir  kebobrokan  sosial  yang  meruntuhkan  bangsa.  Para  remaja  harus  mendalami  ilmu  agama  dengan  lebih  terperinci  iaitu  dalam  pelbagai  aspek  seperti  ilmu  Ibadah,  Akidah,  Adab  dan  sebagainya.  Contohnya,  Kementerian  Pelajaran  Malaysia  telah  meletakkan  topik  Perkahwinan  Dalam  Islam  di  dalam  aspek  Ibadah  sebagai  medium  pembelajaran  remaja-remaja  di  alma  mater  agar  mereka  mengetahui  bahawa  ikatan  yang  sah  mengikut  syarak  adalah  penting  dan  perlu  diimplementasikan  dalam  kehidupan.  Justifikasinya,  pihak  sekolah  telah  meringankan  beban  ibu  bapa  di  rumah  dalam  mendidik  anak-anak.  Hal  ini  demikian  kerana  apabila  iman  seseorang  itu  utuh,  mereka  akan  dapat  membezakan  antara  perkara  yang  baik  dan  perkara  yang  buruk  dengan  lebih  jelas  dan  nyata.  Mereka  juga  akan  menjaga  kehormatan  diri  serta  mengawal  batas-batas  perhubungan  mengikut  syariat  Islam  yang  sebenar.  Dengan  itu,  aurat  seorang  gadis  disimpan  rahsia  daripada  para  jejaka,  manakala  iman  seorang  jejaka  mungkin  mampu  melawan  atau  memerangi  nafsu-nafsi  yang  menjadi  musuh  setiap  insan.  Mereka  akan  menghindarkan  diri  daripada  kegiatan  haram  yang  bakal  terjerumus  ke  lembah  maksiat.  Natijahnya,  para  remaja  perlu  mempunyai  cara  hidup  seperti  masyarakat  Islam  bukannya  seperti  masyarakat  zaman  Jahiliah  dahulu.


Hadirin  sekalian,


            Indakator  saya  seterusnya  ialah  mengukuhkan  institusi  kekeluargaan.  Pengukuhan  institusi  kekeluargaan  merupakan  tunggak  yang  paling  utama.  Ibu  bapa  perlu  berusaha  untuk  mewujudkan  sebuah  institusi  kekeluargaan  yang  aman  supaya  dapat  merealisasikan  slogan  “Rumahku  Syurgaku”.  Perkataan  ini  sedap  disebut  bahkan  sedap  juga  didengar  di  halwa  telinga  kita.  Semua  orang  mahukan  kediaman  mereka  indah,  selesa,  damai  dan  sejahtera.  Namun,  berapa  ramaikah  yang  berusaha  untuk  menjadikan  keluarganya  bahagia?  Keluarga  merupakan  insan  terdekat  yang  boleh  dipercayai  dan  tempat  untuk  mengadu.  Remaja-remaja  kini  sensitif  dan  mudah  mendapat  tekanan  daripada  iklim  sekeliling.  Mereka  perlukan  seseorang  yang  boleh  dipercayai  agar  isi  hati  mereka  yang  terbuku  di  dalam  diri  dapat  diluahkan  bersama.  Mereka  juga  mahukan  tempat  rujukan  yang  sahih  dan  boleh  membimbing  mereka  ke  arah  kejayaan.  Walakin  begitu,  mereka  malu  untuk  bertanya  kepada  ibu  bapa   lalu  mereka  menyimpan  perkara-perkara  yang  hendak  diketahui  mereka  sebagai  harta  karun  di  hati.  Jadi,  ibu  bapa  hendaklah  bertanya  kepada  anak-anak  jika  mereka  ada  masalah.  Anak-anak  juga  harus  merujuk  kepada  ibu  bapa  jika  terdapat  sebarang  perkara  yang  merungsingkan  minda  agar  kemelut  kehidupan  dapat  dielakkan.  Ibu  bapa  juga  harus  memberi  perhatian  kepada  anak-anak  agar  mereka  tidak  bergiat  dalam  kegiatan  gejala  sosial  yang  kini  semakin  berleluasa.  Rakan-rakan  sebaya,  aktiviti-aktiviti  seharian  dan  jadual  waktu  anak-anak  perlu  diambil  tahu  oleh  ibu  bapa.  Ibu  bapa  sebagai  tiang  utama  dalam  membangunkan  institusi  kekeluargaan  mestilah  memberi  kasih  sayang  yang  secukupnya  kepada  anak-anak  dan  perbuatan  pilih  kasih  antara  satu  sama  lain  perlulah  dielakkan.  Hal  ini  demikian  kerana  dapat  memecahbelahkan  perpaduan  dalam  keluarga  dan  boleh  mengundang  kepada  perpecahan  serta  huru-hara  kepada  institusi  kekeluargaan.  Dengan  cara  sebegini,  hubungan  kekeluargaan  dapat  dirapatkan  dan  sebarang  permasalahan  boleh  diselesaikan  dengan  cara  yang  berkesan  dan  bersama,  bak  kata  peribahasa,  “bukit  sama  didaki,  lurah  sama  dituruni”.


            Deduksinya,  usaha  pasti  akan  membuahkan  hasil  kalau  pelbagai  langkah  yang  efektif  dan  drastik  dilaksanakan  segera  bagi  mengatasi  krisis  yang  sudah  bersarang  lama  di  negara  kita.  Selain  itu,  semua  pihak  harus  berganding  bahu  dalam  membanteras  gejala  pembuangan  bayi  agar  gejala  tersebut  tidak  berleluasa.  Jadi,  marilah  kita  sama-sama  membasmi  jenayah  ini  hingga  ke  akar  umbi.


            Sekian  sahaja  pidato  saya  kali  ini,  dan  saya  ingin  memohon  maaf  sekiranya  tersilap  kata  dan  terdapat  tutur  bicara  yang  kurang  sopan  semasa  saya  menyampaikan  pidato  sebentar  tadi.


Mentari  segar  bangkit  indah,

Terpesona  gah  di  pagi  hari,

Berhujah  sudah,  bersyarah  sudah,

Izinkan  saya  mengundur  diri.


Sekian,  wabilahitaufik  walhidayah  wassalamualaikum  warahmatullahiwabarakatuh.

Sektor Pertanian



Karangan Sektor  Pertanian.


Soalan -           Sektor  pertanian  merupakan  nadi  terpenting  dalam  membangunkan  ekonomi  negara.  Berikan  punca  dan  usaha-usaha  dalam  merancakkan  industri pertanian  negara.


Ketika  mengharungi  arus  globalisasi  dan  modenisasi,  negara  kita  telah  mengalami  pembangunan  yang  pesat,  terutamanya  dalam  sektor  perindustrian.  Rentetan  daripada  itu,  sektor  pertanian  telah  dikesisikan  dalam  arus  pembangunan  sejak  1980-an.   Walau  bagaimanapun  di  bawah  Misi  Nasional,   kerajaan  telah  meningkatkan  kedudukan  sektor  ini  semula  dalam  pelan  pembangunan  negara  kita  iaitu  Rancangan  Malaysia  Kesembilan.  Hal  ini  demikian  kerana  ketika  dilanda  kegawatan  ekonomi  pada  tahun  1997  dan  1998,   minyak  kelapa  sawit  bertindak  sebagai  “penyelamat”  ekonomi   negara  kita.  Selain  itu  kerajaan  juga   mendapati  bahawa  negara  kita  memperuntukkan  berbilion-bilion  ringgit  untuk  mengimport  makanan  sehingga  meningkatkan  defisit  ekonomi  negara  kita.  Sesungguhnya,  banyak  makanan  dapat  dihasilkan  di  negara  kita  melalui  sektor  pertanian.  Pelbagai  punca  yang  meningkatkan  sektor  pertanian  tetapi  bagaimanakah  kita  dapat  merancakkan  lagi  kegiatan  sektor  pertanian?  Semua  pihak  yang  terbabit  perlu  menggembleng  tenaga  untuk  menjanakan  sektor  pertanian  di  tanah  air,  kata  orang  tua-tua,  “genggam  bara  api  biarlah  sampai  jadi  arang”.


Kerajaan  memainkan  peranan  dalam  akar  umbi  peningkatan  sektor  pertanian.  Masyarakat  juga  hendaklah  memberikan  sinergi  yang  tinggi  dan  menggembleng  tenaga  bagi  menjayakan  target  negara,  bak  peribahasa,  “bagai  aur  dengan  tebing”.  Pengusaha  tanaman  telah  mendapat  peruntukan  untuk  keperluan  menghasilkan  tanaman  yang  lebih  berkualiti  dan  bermutu.  Kerajaan  telah  memperuntukkan  berjuta-juta  ringgit  untuk   pengusaha-pengusaha  tanaman  dan  petani-petani.  Oleh  itu,  pengusaha  perlu  menggunakan  peluang  ini  dengan  sebaik  mungkin.  Hal  ini  dapat  mengurangkan  beban  pengusaha  tanaman  bagi  menampung  kos  keperluan  tanaman  yang  memerlukan  beribu-ribu  ringgit  seperti  baja  dan  racun  serangga.  Kerajaan  juga  telah  memberikan  baja  berkualiti  kepada  pengusaha  tanaman  dan  petani  secara  percuma.  Selain  itu,  kerajaan  telah  meningkatkan  pendapatan  petani-petani.  Bidang  pertanian  ini  juga  mengambil  bahagian  dalam  sumber  pendapatan  hidup.  Pendapatan  seorang  petani  kini  setanding  dengan  pendapatan  individu  yang  berkerjaya.  Contohnya,  kini  seruas  tebu  mungkin  mencecah  dua  ringgit.  Jika  serumpun  tebu  terdapat  10  ruas.  Pasti  serumpun  itu  bernilai  20  ringgit.  Pengusaha  tebu  akan  mendapat  keuntungan  yang  lebih  semasa  bulan  Ramadhan  iaitu  bulan  puasa  kerana  permintaan  orang  ramai.  Tebu  boleh  dijadikan  sebagai  sumber  minuman  yang  menarik  minat  masyarakat.  Pendapatan  seorang  pengusaha  tebu  tentu  dapat  raih  20  ribu  ringgit  atau  lebih  dalam  bulan  itu.  Hal  ini  dapat  menarik  minat  remaja-remaja  untuk  mengambil  bahagian  dalam  industri  pertanian.   Sekali  gus  menambah  para  pengusaha  dalam  bidang  ini.  Hasrat  untuk  mengeluarkan  hasil  pertanian  yang  berkualiti  setanding  dengan  negara  maju  pasti  tercapai.


Selain  itu,  baja  organik  diperlukan  dalam  menghasilkan  hasil  tanaman  yang  segar.  Dengan  penggunaan  baja  organik,  pengusaha  tanaman  dapat  mengeluarkan  hasil  pertanian  yang  berkualiti  dan  segar.  Contohnya,  penanaman  sayur-sayuran  yang  menjadi  tumpuan  masyarakat  dan    dipasarkan  di  pusat  membeli-belah  perlu  segar  apatah  lagi  sayur-sayuran  ini  adalah  sumber  vitamin  yang  diperlukan  dalam  badan.  Jikalau  tanaman  ini  tidak  subur,  tentu  sayur-sayuran  itu  kekurangan  vitamin  lalu  menjejaskan  kesihatan  seseorang  individu.  Pengusaha  sayur-sayuran  hendaklah  memberi  kualiti  kesegaran  yang  tinggi  dengan  baja  organik.  Baja  organik  amat  berguna,  hal  ini  sudah  terang  lagi  bersuluh  apabila  masyarakat  Cina,  Jepun  dan  masyarakat  Asia  yang  lain  dipercayai  telah  membuat  baja  kompos  sejak  dahalu  lagi.  Baja  kompos  terhasil  apabila  bahan  organik  mereput  dan  terurai  kepada  bahan  yang  kaya  dengan  nutrien  yang  dipanggil  ‘humus’  melalui  haba  dan  respirasi  yang  dilakukan  oleh  organisma  tanah  seperti  bakteria,  cacing  dan  kulat.  Baja  kompos  mempunyai  peranan  yang  penting  bagi  tanah,  ia  berupaya  meningkatkan  dan  mempertahankan  kesuburan  sifat  kimia,  fizik  dan  biologi  dalam  tanah  tersebut.  Baja  kompos  juga  dapat  memperbaiki  struktur  dan  lapisan  tanah.  Walau  bagaimanapun,  hasil  dari  pemerhatian,  penggunaan  baja  kompos  dalam  bidang  pertanian  pada  masa  kini  masih  lagi  pada  tahap  skala  kecil.  Hal  ini  demikian  kerana  nutrien  yang  dibekalkan  baja  kompos  tidak  setanding  dengan  baja  kimia.  Maka,  baja  organik  harus  diguna  oleh  pengusaha-pengusaha  dalam  mengusahakan  tanaman  agar  hasilnya  bermutu  tinggi.


            Kebanyakan  kawasan  di  Malaysia  mempunyai  kemudahan  pengairan  yang  lengkap.  Tanah  juga  subur  dan  sesuai  untuk  bercucuk  tanam.  Hal  ini  jelas  apabila  diperkuatkan  lagi  dengan  sejarah  penjajahan   British  di  Tanah  Melayu.  Selain  daripada  menjadi  tempat  yang  strategik,  salah  satu  faktor  yang  menarik  minat  penjajah  untuk  menakluk  Tanah  Melayu  ialah  tanah  yang  subur  dan  kekayaan  bahan  mentah.  Petempatan  yang  lengkap  dengan  pengairan  juga  kini  terlibat  dalam  industri  pertanian.  Contohnya,  di  Sungai  Petani,  penduduk  tempatan  menggunakan  kemudahan  pengairan  seperti  tali  air  untuk  penanaman  padi.  Dengan  adanya  kemudahan  pengairan,  sektor  pertaniaan  negara  akan  lebih  stabil  dan  juga  hasil  pertanian  dapat  mencukupi  keperluan  rakyat.  Kemudahan  pengairan  ini  juga  dapat  menyumbang  sedikit  sebanyak  peluang  penduduk  tempatan  untuk  menjana  pendapatan  dengan  wujudnya  sumber  protein.  Misalnya,  penternakan  ikan  air  tawar  seperti  ikan  patin.  Ikan  ini  pernah  mencetuskan  kontroversi  di  Malaysia  kerana  harganya  yang  boleh  mencecah  seratus  lapan  puluh  ringgit  sekilogram.  Pengairan  juga  dapat  mengatasi  masalah  kekurangan  air  hujan  apatah  lagi  musim  kemarau  serta  keadaan  cuaca  yang  tidak  menentu.  Semua  individu  pasti  tahu  cuaca  di  Malaysia  sememangnya  cuaca  panas  dan  hujan  sahaja  kerana  faktor  lokasi  iaitu  berdekatan  dengan  garisan  Khatulistiwa.  Seterusnya,  dengan  kemudahan  ini  penanaman  dua  tanaman  atau  lebih  dapat  diusahakan  serta  tapak  pertanian  boleh  diperluaskan.  Maka,  bertuahnya  Malaysia  dapat  menikmati  nikmat  alam  sekitar  yang  diberi-Nya.  Sebagai  rakyat  Malaysia,  kita  seharusnya  menggunakan  nikmat  tersebut  untuk  memajukan  bidang  pertanian.


Ilmu  itu  penting  untuk  kemajuan  dalam  kehidupan  bertamadun  kerana  ilmu  itu  umpama  pelita  yang  menerangi  kegelapan  hidup  kita.  Ilmu  perlu  dituntut  sebagai  bekalan  di  hari  muka.  Ilmu  pengetahuan  dalam  bidang  pertanian  juga  merupakan  penyebab  peningkatan  dalam  sektor  pertanian.  Pada  masa  ini,  sudah  wujud  institusi  yang  mendedahkan  ilmu  penanaman  atau  pengusahaan  dalam  bidang  pertanian  kepada  anak  watan  pewaris  bangsa.  Hal  ini  demikian  kerana  remaja-remaja  dapat  mewarisi  sistem  pertanian  yang  berkualiti  untuk  masa  akan  datang.  Tamsilnya,  Institut  Pertanian  Sabah.  Matlamat  institusi  ini  ialah  untuk  memberi  latihan  pertanian  bagi  melahirkan  Juruteknik  Pertanian  supaya  dapat  memenuhi  keperluan  tenaga  pekerja  mahir  di  sektor  awam  dan  swasta.  Seterusnya,  mereka  juga  akan  memberi  latihan  kemahiran  dan  pengkhususan  kepada  pelajar  untuk  mewujudkan  bakal  usahawan  pertanian.  Institusi  pertanian  seperti  ini  bukan  sahaja  di  Sabah  dan  Sarawak  tetapi  terdapat  Institut  Pertanian  Tropika  iaitu  di  Universiti  Putra  Malaysia.  Latihan  pertanian  juga  diberi  kepada  masyarakat  melalui  kursus-kursus  yang  terbuka.  Jelaslah  bahawa  industri  pertanian  ini  dapat  ditingkatkan  mutunya  dan  menjadi  maju  dengan  usaha  semua  pihak.  Tidak  dapat  dinafikan  bahawa  Kementerian  Pertanian  dan  sektor  swasta  perlu  menjalankan  penyelidikan  dan  pembangunan  (R&D)  terhadap  sektor   pertanian  kita.  Jurusan  Pertanian  di  Pusat  Pengajian  Tinggi  (IPT)  dan  pakar  pertanian  perlu  berkomitmen  untuk  mengkaji  penggunaan  ilmu   sains  dan  teknologi  dalam  sektor  pertanian  dan  penternakan.  Mereka  hendak  memastikan  bahawa  industri  hilir  dalam  pertanian  dapat  dimajukan  untuk   meningkatkan  pendapatan  kaum  petani  seperti  lada  dapat  dijadikan  sos  cili,  ubat pelangsing  dan  ubat  kesakitan  sendi.  Sengkuang  telah  diproses  sebagai  bahan  kosmetik   dan  sebagainya.   Hal  ini  selaras  dengan  peribahasa  Melayu,  “di  mana  ada  kemahuan,  di  situ  ada  jalan.”  Pegawai  Kementerian  Pertanian  terutamanya  MARDI  (Institut Penyelidikan  dan  Kemajuan  Pertanian  Malaysia)  sewajarnya  menawarkan  bengkel  atau  kursus  untuk  memberikan   khidmat  nasihat    serta  membekalkan  baka  benih  yang  bermutu  kepada  petani  kita  untuk  menggunakan  bioteknologi  yang  canggih.


Sebagai  menggulung  segala  yang  telah  diperkatakan  di  atas,  sektor  pertanian  mempunyai  asas  yang  kukuh  dan  potensi  yang  baik  serta  prospek  yang  cerah  untuk  dimajukan.  Kita  harus  menggunakan  segala  kepakaran  yang  ada  untuk  memajukan  bidang  ini  demi  kestabilan  ekonomi  negara.  Rakyat  Malaysia  pertu  berfikiran  terbuka  dan  positif  terhadap  potensi  sektor  ini.  Kita  juga  wajar  menjadikan  kejayaan  negara-negara  maju  khususnya  Jepun  yang  telah  berjaya  menguasai  sektor  perindustrian  tetapi  dalam  masa  yang  sama  terus  membangunkan  bidang  pertanian  untuk  kesejahteraan  hidup  rakyatnya  bak  kata  peribahasa  Melayu,  “yang  baik  jadikan  teladan,  yang  buruk  jadikan  sempadan”.


(1  172  patah  perkataan)