Friday, April 19, 2013

Sektor Pertanian



Karangan Sektor  Pertanian.


Soalan -           Sektor  pertanian  merupakan  nadi  terpenting  dalam  membangunkan  ekonomi  negara.  Berikan  punca  dan  usaha-usaha  dalam  merancakkan  industri pertanian  negara.


Ketika  mengharungi  arus  globalisasi  dan  modenisasi,  negara  kita  telah  mengalami  pembangunan  yang  pesat,  terutamanya  dalam  sektor  perindustrian.  Rentetan  daripada  itu,  sektor  pertanian  telah  dikesisikan  dalam  arus  pembangunan  sejak  1980-an.   Walau  bagaimanapun  di  bawah  Misi  Nasional,   kerajaan  telah  meningkatkan  kedudukan  sektor  ini  semula  dalam  pelan  pembangunan  negara  kita  iaitu  Rancangan  Malaysia  Kesembilan.  Hal  ini  demikian  kerana  ketika  dilanda  kegawatan  ekonomi  pada  tahun  1997  dan  1998,   minyak  kelapa  sawit  bertindak  sebagai  “penyelamat”  ekonomi   negara  kita.  Selain  itu  kerajaan  juga   mendapati  bahawa  negara  kita  memperuntukkan  berbilion-bilion  ringgit  untuk  mengimport  makanan  sehingga  meningkatkan  defisit  ekonomi  negara  kita.  Sesungguhnya,  banyak  makanan  dapat  dihasilkan  di  negara  kita  melalui  sektor  pertanian.  Pelbagai  punca  yang  meningkatkan  sektor  pertanian  tetapi  bagaimanakah  kita  dapat  merancakkan  lagi  kegiatan  sektor  pertanian?  Semua  pihak  yang  terbabit  perlu  menggembleng  tenaga  untuk  menjanakan  sektor  pertanian  di  tanah  air,  kata  orang  tua-tua,  “genggam  bara  api  biarlah  sampai  jadi  arang”.


Kerajaan  memainkan  peranan  dalam  akar  umbi  peningkatan  sektor  pertanian.  Masyarakat  juga  hendaklah  memberikan  sinergi  yang  tinggi  dan  menggembleng  tenaga  bagi  menjayakan  target  negara,  bak  peribahasa,  “bagai  aur  dengan  tebing”.  Pengusaha  tanaman  telah  mendapat  peruntukan  untuk  keperluan  menghasilkan  tanaman  yang  lebih  berkualiti  dan  bermutu.  Kerajaan  telah  memperuntukkan  berjuta-juta  ringgit  untuk   pengusaha-pengusaha  tanaman  dan  petani-petani.  Oleh  itu,  pengusaha  perlu  menggunakan  peluang  ini  dengan  sebaik  mungkin.  Hal  ini  dapat  mengurangkan  beban  pengusaha  tanaman  bagi  menampung  kos  keperluan  tanaman  yang  memerlukan  beribu-ribu  ringgit  seperti  baja  dan  racun  serangga.  Kerajaan  juga  telah  memberikan  baja  berkualiti  kepada  pengusaha  tanaman  dan  petani  secara  percuma.  Selain  itu,  kerajaan  telah  meningkatkan  pendapatan  petani-petani.  Bidang  pertanian  ini  juga  mengambil  bahagian  dalam  sumber  pendapatan  hidup.  Pendapatan  seorang  petani  kini  setanding  dengan  pendapatan  individu  yang  berkerjaya.  Contohnya,  kini  seruas  tebu  mungkin  mencecah  dua  ringgit.  Jika  serumpun  tebu  terdapat  10  ruas.  Pasti  serumpun  itu  bernilai  20  ringgit.  Pengusaha  tebu  akan  mendapat  keuntungan  yang  lebih  semasa  bulan  Ramadhan  iaitu  bulan  puasa  kerana  permintaan  orang  ramai.  Tebu  boleh  dijadikan  sebagai  sumber  minuman  yang  menarik  minat  masyarakat.  Pendapatan  seorang  pengusaha  tebu  tentu  dapat  raih  20  ribu  ringgit  atau  lebih  dalam  bulan  itu.  Hal  ini  dapat  menarik  minat  remaja-remaja  untuk  mengambil  bahagian  dalam  industri  pertanian.   Sekali  gus  menambah  para  pengusaha  dalam  bidang  ini.  Hasrat  untuk  mengeluarkan  hasil  pertanian  yang  berkualiti  setanding  dengan  negara  maju  pasti  tercapai.


Selain  itu,  baja  organik  diperlukan  dalam  menghasilkan  hasil  tanaman  yang  segar.  Dengan  penggunaan  baja  organik,  pengusaha  tanaman  dapat  mengeluarkan  hasil  pertanian  yang  berkualiti  dan  segar.  Contohnya,  penanaman  sayur-sayuran  yang  menjadi  tumpuan  masyarakat  dan    dipasarkan  di  pusat  membeli-belah  perlu  segar  apatah  lagi  sayur-sayuran  ini  adalah  sumber  vitamin  yang  diperlukan  dalam  badan.  Jikalau  tanaman  ini  tidak  subur,  tentu  sayur-sayuran  itu  kekurangan  vitamin  lalu  menjejaskan  kesihatan  seseorang  individu.  Pengusaha  sayur-sayuran  hendaklah  memberi  kualiti  kesegaran  yang  tinggi  dengan  baja  organik.  Baja  organik  amat  berguna,  hal  ini  sudah  terang  lagi  bersuluh  apabila  masyarakat  Cina,  Jepun  dan  masyarakat  Asia  yang  lain  dipercayai  telah  membuat  baja  kompos  sejak  dahalu  lagi.  Baja  kompos  terhasil  apabila  bahan  organik  mereput  dan  terurai  kepada  bahan  yang  kaya  dengan  nutrien  yang  dipanggil  ‘humus’  melalui  haba  dan  respirasi  yang  dilakukan  oleh  organisma  tanah  seperti  bakteria,  cacing  dan  kulat.  Baja  kompos  mempunyai  peranan  yang  penting  bagi  tanah,  ia  berupaya  meningkatkan  dan  mempertahankan  kesuburan  sifat  kimia,  fizik  dan  biologi  dalam  tanah  tersebut.  Baja  kompos  juga  dapat  memperbaiki  struktur  dan  lapisan  tanah.  Walau  bagaimanapun,  hasil  dari  pemerhatian,  penggunaan  baja  kompos  dalam  bidang  pertanian  pada  masa  kini  masih  lagi  pada  tahap  skala  kecil.  Hal  ini  demikian  kerana  nutrien  yang  dibekalkan  baja  kompos  tidak  setanding  dengan  baja  kimia.  Maka,  baja  organik  harus  diguna  oleh  pengusaha-pengusaha  dalam  mengusahakan  tanaman  agar  hasilnya  bermutu  tinggi.


            Kebanyakan  kawasan  di  Malaysia  mempunyai  kemudahan  pengairan  yang  lengkap.  Tanah  juga  subur  dan  sesuai  untuk  bercucuk  tanam.  Hal  ini  jelas  apabila  diperkuatkan  lagi  dengan  sejarah  penjajahan   British  di  Tanah  Melayu.  Selain  daripada  menjadi  tempat  yang  strategik,  salah  satu  faktor  yang  menarik  minat  penjajah  untuk  menakluk  Tanah  Melayu  ialah  tanah  yang  subur  dan  kekayaan  bahan  mentah.  Petempatan  yang  lengkap  dengan  pengairan  juga  kini  terlibat  dalam  industri  pertanian.  Contohnya,  di  Sungai  Petani,  penduduk  tempatan  menggunakan  kemudahan  pengairan  seperti  tali  air  untuk  penanaman  padi.  Dengan  adanya  kemudahan  pengairan,  sektor  pertaniaan  negara  akan  lebih  stabil  dan  juga  hasil  pertanian  dapat  mencukupi  keperluan  rakyat.  Kemudahan  pengairan  ini  juga  dapat  menyumbang  sedikit  sebanyak  peluang  penduduk  tempatan  untuk  menjana  pendapatan  dengan  wujudnya  sumber  protein.  Misalnya,  penternakan  ikan  air  tawar  seperti  ikan  patin.  Ikan  ini  pernah  mencetuskan  kontroversi  di  Malaysia  kerana  harganya  yang  boleh  mencecah  seratus  lapan  puluh  ringgit  sekilogram.  Pengairan  juga  dapat  mengatasi  masalah  kekurangan  air  hujan  apatah  lagi  musim  kemarau  serta  keadaan  cuaca  yang  tidak  menentu.  Semua  individu  pasti  tahu  cuaca  di  Malaysia  sememangnya  cuaca  panas  dan  hujan  sahaja  kerana  faktor  lokasi  iaitu  berdekatan  dengan  garisan  Khatulistiwa.  Seterusnya,  dengan  kemudahan  ini  penanaman  dua  tanaman  atau  lebih  dapat  diusahakan  serta  tapak  pertanian  boleh  diperluaskan.  Maka,  bertuahnya  Malaysia  dapat  menikmati  nikmat  alam  sekitar  yang  diberi-Nya.  Sebagai  rakyat  Malaysia,  kita  seharusnya  menggunakan  nikmat  tersebut  untuk  memajukan  bidang  pertanian.


Ilmu  itu  penting  untuk  kemajuan  dalam  kehidupan  bertamadun  kerana  ilmu  itu  umpama  pelita  yang  menerangi  kegelapan  hidup  kita.  Ilmu  perlu  dituntut  sebagai  bekalan  di  hari  muka.  Ilmu  pengetahuan  dalam  bidang  pertanian  juga  merupakan  penyebab  peningkatan  dalam  sektor  pertanian.  Pada  masa  ini,  sudah  wujud  institusi  yang  mendedahkan  ilmu  penanaman  atau  pengusahaan  dalam  bidang  pertanian  kepada  anak  watan  pewaris  bangsa.  Hal  ini  demikian  kerana  remaja-remaja  dapat  mewarisi  sistem  pertanian  yang  berkualiti  untuk  masa  akan  datang.  Tamsilnya,  Institut  Pertanian  Sabah.  Matlamat  institusi  ini  ialah  untuk  memberi  latihan  pertanian  bagi  melahirkan  Juruteknik  Pertanian  supaya  dapat  memenuhi  keperluan  tenaga  pekerja  mahir  di  sektor  awam  dan  swasta.  Seterusnya,  mereka  juga  akan  memberi  latihan  kemahiran  dan  pengkhususan  kepada  pelajar  untuk  mewujudkan  bakal  usahawan  pertanian.  Institusi  pertanian  seperti  ini  bukan  sahaja  di  Sabah  dan  Sarawak  tetapi  terdapat  Institut  Pertanian  Tropika  iaitu  di  Universiti  Putra  Malaysia.  Latihan  pertanian  juga  diberi  kepada  masyarakat  melalui  kursus-kursus  yang  terbuka.  Jelaslah  bahawa  industri  pertanian  ini  dapat  ditingkatkan  mutunya  dan  menjadi  maju  dengan  usaha  semua  pihak.  Tidak  dapat  dinafikan  bahawa  Kementerian  Pertanian  dan  sektor  swasta  perlu  menjalankan  penyelidikan  dan  pembangunan  (R&D)  terhadap  sektor   pertanian  kita.  Jurusan  Pertanian  di  Pusat  Pengajian  Tinggi  (IPT)  dan  pakar  pertanian  perlu  berkomitmen  untuk  mengkaji  penggunaan  ilmu   sains  dan  teknologi  dalam  sektor  pertanian  dan  penternakan.  Mereka  hendak  memastikan  bahawa  industri  hilir  dalam  pertanian  dapat  dimajukan  untuk   meningkatkan  pendapatan  kaum  petani  seperti  lada  dapat  dijadikan  sos  cili,  ubat pelangsing  dan  ubat  kesakitan  sendi.  Sengkuang  telah  diproses  sebagai  bahan  kosmetik   dan  sebagainya.   Hal  ini  selaras  dengan  peribahasa  Melayu,  “di  mana  ada  kemahuan,  di  situ  ada  jalan.”  Pegawai  Kementerian  Pertanian  terutamanya  MARDI  (Institut Penyelidikan  dan  Kemajuan  Pertanian  Malaysia)  sewajarnya  menawarkan  bengkel  atau  kursus  untuk  memberikan   khidmat  nasihat    serta  membekalkan  baka  benih  yang  bermutu  kepada  petani  kita  untuk  menggunakan  bioteknologi  yang  canggih.


Sebagai  menggulung  segala  yang  telah  diperkatakan  di  atas,  sektor  pertanian  mempunyai  asas  yang  kukuh  dan  potensi  yang  baik  serta  prospek  yang  cerah  untuk  dimajukan.  Kita  harus  menggunakan  segala  kepakaran  yang  ada  untuk  memajukan  bidang  ini  demi  kestabilan  ekonomi  negara.  Rakyat  Malaysia  pertu  berfikiran  terbuka  dan  positif  terhadap  potensi  sektor  ini.  Kita  juga  wajar  menjadikan  kejayaan  negara-negara  maju  khususnya  Jepun  yang  telah  berjaya  menguasai  sektor  perindustrian  tetapi  dalam  masa  yang  sama  terus  membangunkan  bidang  pertanian  untuk  kesejahteraan  hidup  rakyatnya  bak  kata  peribahasa  Melayu,  “yang  baik  jadikan  teladan,  yang  buruk  jadikan  sempadan”.


(1  172  patah  perkataan)

No comments:

Post a Comment