Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Saturday, June 8, 2013

Aku Mahu Gapai Bintangku

Aku  terbaring  di  atas  katil.  Pandanganku  yang  masih  pada  kipas  siling  lantas  ditoleh  ke  arah  jam  dinding  yang  berada  di  sisi  bilikku.  Sudah  11.00  malam.  “Aku  patut  tidur,  esok  sekolah.”  Desis  aku.  Aku  memejamkan  mataku.  Suasana  malam  yang  sunyi  sepi  telah  menusuk  kalbuku  sehingga  aku  mengimbas  kenangan  lama.
“Semua  bangun…”,  jelas  arahan  ketua  kelas.  Semua  pelajar  bangun  dan  mendengar  arahan  seterusnya.
“Assalamualaikum  cikgu.”,  seperti  biasa  selepas  ketua  kelas  memberi  salam,  kami  yang  lain  mengikut  sama.
“Waalaikumussalam...  baiklah,  semua  pelajar  diminta  duduk.”,  sesudah  sahaja  kami  diarah  oleh  guru,  kami  berterima  kasih  kepada  cikgu  lalu  mengambil  tempat  masing-masing.  Tahun  ini  mulanya  permulaan  yang  baru.  Aku  sudah  berada  di  tahun  empat  dan  yang  pastinya,  tahun  ini  lagi  mencabar.  Mengapa?  Hm…lagi  banyak  buku  yang  perlu  dibawa  ke  sekolah.  Mungkin  lagi  banyak  cikgu  baru  dan  garang  yang  akan  ajar  aku.  Takutnya…
Aku  melihat  gerak-geri  yang  dibuat  guru  baruku.  Dia  menuliskan  bermacam-macam  jenis  nombor  secara  berselerak  pada   papan  hitam.  Namun,  angka-angka  tersebut  hanya  sehingga  angka  ke-15.  Sejurus  sahaja  cikgu  itu  selesai  dan  meletakkan  kapur  di  atas  meja,  dia  tersenyum  sambil  memandang  ke  arah  kami.  Sewaktu  itu,  bulu  romaku  sudah  naik.  Situasi  itu  sungguh  menyeramkan  apatah  lagi  bedak  cikgu  itu  dua  inci  juga  boleh  sampai,  gincu  merah  membara  ibarat  api  yang  menyala.  Siapa  yang  tidak  takut?  Macam  rupa  badut  pun  ada.  “Pandai  betul  aku  kutuk  cikgu,  tidak  berkat  ilmu  nanti.”,  kata  aku  dalam  hati  sambil  tertawa  kecil.
“Kau  ini  kenapa?  Pelik  sahaja.  Tiba-tiba  ketawa  seorang  diri.”,  tegur  kawanku  yang  berada  di  sebelah.  Aku  tersengeh  seperti  kerang  busuk.
“Tiada  apa-apalah.  Kita  dengar  arahan  cikgu  sama-sama  ya  Badrul.”,  aku  cuba  mengelak.  Badrul  hanya  mampu  menggelengkan  kepalanya.
“Semua  pelajar  bangun.”,  arah  cikgu  itu.  Ha?  Semua  murid  tercengang.  Aku  saling  berpandangan  dengan  Badrul.  Tadi  bagi  duduk,  sekarang  bangun  balik.  Cikgu  nak  buat  apa?  Kami  cuak.
“Baik,  cikgu  akan  soal  sifir.  Sesiapa  yang  mahu  jawab  angkat  tangan  dan  kalau  sudah  dapat  jawab,  awak  boleh  duduk.”,  ringkas  arahan  cikgu.  Aku  berfikir  sendiri.  Sifir?  Apa  benda  itu?  Aku  melihat  rakan-rakanku  yang  lain.  Mereka  nampak  tenang.  Walakin  begitu,  ada  juga  kawan-kawanku  yang  cemas.  Badrul?  Dia  juga  tenang.  Aku  rasa  aku  paling  cuak.  Aku  tidak  tahu  apa-apa  tentang  sifir.  Sudah  sahaja  arahan  cikgu,  bermulalah  pertempuran  sifir.  Satu  per  satu  kawan-kawanku  boleh  duduk.  Angkat  tangan,  dapat  jawab,  dapatlah  duduk.  Sampai  satu  masa,  tiada  seorang  pun  yang  angkat  tangan.  Tiada  lagi  yang  boleh  menjawab  soalan-soalan  sifir  itu.  Aku  melihat  sekelilingku.  Aku  masih  di  medan  pertempuran,  aku  tidak  selamat  lagi.  Aku  bersama  lima  orang  rakanku.  Aku  memandang  cikgu  dengan  muka  kesian.  Kononnya  mahu  buat  muka  kucing  dalam  filem  ‘Shrek’.
Malangnya,  cikgu  langsung  tidak  berikan  sedikit  rasa  simpati.  Soalan-soalan  diaju  bertalu-talu.  Sekejap  “5  x  2”,  “1  x  3”,  “4  x  3”  dan  lain-lain.  Aku  melihat  rakan-rakanku  yang  sudah  duduk.  Pada  saat  aku  melihat  kawanku  yang  aku  kenal  sejak  kecil  lagi,  soalan  guru  bertukar,  “2  x  1?”,  pertanyaan  cikgu  itu  diulang  dua  kali.  Tiba-tiba,  kawanku  itu,  Nisha  menunjukkan  jarinya  sebanyak  dua  jari.  Aku  tersenyum.  Aku  lantas  mengangkat  tanganku  lalu  menjawab  dua  bagi  soalan  cikgu.  Cikgu  memberi  aku  duduk.  Aku  tersenyum  kepada  kawanku.
Mataku  celik.  “Aku  tidak  boleh  tidur  lagi  ni  kenapa?”,  aku  berkata  geram,  wajahku  berkerut.  Aku  teringat  akan  kisah  sifir  sebentar  tadi.  Aku  patut  berterima  kasih  kepada  kawanku  itu.  Aku  lantas  mengelamun  ke  zaman  sekolah  rendahku.  Semasa  aku  berumur  10  tahun  itu,  aku  seorang  yang  pemalas,  pemalu  dan  manja.  Kerja  rumah  tidak  siap,  latihan  tidak  buat  dan  aku  sering  didenda  oleh  guru-guruku. Walaupun  begitu,  aku  cuba  berubah.  Arwah  datukku  dulu  telah  memberiku  satu  semangat  untuk  terus  berusaha.  Kata  Tok  Bak,  “Rafi,  kalau  Rafi  rasa  malas,  Rafi  timbulkan  semangat  dalam  diri  Rafi.  Dengan  semangat  itu,  Rafi  boleh  lawan  perasaan  malas.”  Akhirnya,  aku  mendapat  5A  dalam  UPSR  walaupun  aku  bukannya  dari  kalangan  yang  disasarkan  untuk  mendapat  semua  A.
Di  saat  aku  teringat  kata-kata  datukku,  aku  terasa  sayu.  Kini,  aku  sudah  cecah  umur  17  tahun.  Ya,  aku  menduduki  Peperiksaan  SPM  tahun  ini.  Tok  Bak  sudah  tiada  sejak  aku  umur  15  tahun.  Sejak  itu,  aku  telah  hilang  sedikit  daripada  semangatku  lagi-lagi  ibu  dan  ayah  sering  bertelingkah  tidak  tentu  fasal  pada  setiap  malam.  Aku  tertekan.  Keputusan  PMRku,  aku  mendapat  7A2B.  Pada  hari  penerimaan  keputusan,  berderai  manik-manik  putih  di  pipiku.  Walaubagaimana  pun,  aku  tidak  akan  putus  asa.  Aku  akan  terus  bangkit.  Zaman  gelapku  tidak  akan  aku  ulangi.
Aku  yang  berada  di  atas  katil  terus  bersemangat  tidak  tentu  fasal.
“Aku  boleh!!”,  jeritku  sambil  bangun  daripada  baringanku.
“Eh,  peliknya!  Tiba-tiba  sahaja  jerit  aku  boleh.”,  aku  terasa  badanku  digoyang-goyangkan.  Aku  membuka  mataku.  Rakan-rakan  serta  cikgu  memandangku  pelik.  Aku  memandang  rakanku  di  sebelah,  Badrul.  Ya,  Badrul  masih  menjadi  teman  satu  sekolahku.  Aku  masih  terkaku  dan  lidahku  kelu.
“Bangun!”,  Badrul  berkata  sambil  memetikkan  jarinya  di  hadapan  wajahku.  Aku  sedar,  aku  menggosok  mataku..
“Itulah…lain  kali  jangan  tidur  sewaktu  cikgu  mengajar.”,  sindir  Cikgu  Mariam  lalu  disambut  dengan  gelak-gelak  ketawa  kawan-kawanku.  Pipiku  terasa  panas,  malulah…
Badrul  pula  memberi  arahan  apabila  cikgu  mahu  keluar  dari  kelas.  Cikgu  hendak  keluar  kelas?  Berapa  lamakah  aku  tidak  sedarkan  diri?
“Rafi,  tadi  kau  kenapa?  Kau  buat  latihan  sampai  lewat  malam  ya?”,  Tanya  Badrul.
“Yalah,  aku  tidur  lewat  semalam.  Itu  yang  mengantuk.”,  jelas  aku  sambil  menghembuskan  nafas  lemah.
“Lain  kali  janganlah  belajar  kuat  sangat.  Cuba  tenangkan  fikiran.  Jangan  fikir  sangat  fasal  periksa  itu,  aku  tahu  kau  pelajar  sasaran  sekolah.”,  Badrul  menasihati  aku.  Aku  hanya  mengangguk.  Ya,  betul.  Aku  pelajar  sasaran  sekolah.  Mentelah  lagi,  aku  Ketua  Pelajar.  Orang  semua  hormat  aku  kerana  jawatan  dan  darjat  aku  sebagai  pelajar  berketerampilan.  Semakin  aku  berusaha,  semakin  namaku  naik  dan  maju.  Ini  usaha  aku.  Ini  juga  perubahan  aku  selepas  zaman  gelapku.
“Bangun  Rafi…  sudah  tiba  waktu  rehat  ini.  Aku  pergi  kantin  dahulu  ya.”,  kata  Badrul  sambil  memetik-metik  jarinya  di  depan  berbola  sinarku.  Dia  menggeleng-geleng  lalu  pergi  dari  aku.  Aku  tertawa.  Boleh  pula  aku  berkhayal  lagi.
Macam  aku  kata,  ini  usahaku  ibarat  pepatah  Melayu,  “usaha  tangga  kejayaan”  dan  aku  masih  ingat  kata-kata  Sukarno  iaitu  gantunglah  cita-citamu  di  dada  langit  walaupun  kakimu  terletak  di  perlimbahan.  Jadi,  aku  telah  meletakkan  cita-citaku  sebagai  bintang  di  dada  langit  biarpun  aku  hanya  menjejaki  tanah  ini.  Oleh  itu,  aku  perlu  berusaha  kerana  dengan  usaha,  aku  dapat  bina  tangga  kejayaan  untuk  gapai  bintangku.
(1000  patah  perkataan)

Wednesday, April 18, 2012

Suatu Kehidupan


Kuat alunan lagu K-Pop memukul gegendang telinga sehingga terpelanting pen yang dipegang, sekali gus meluputkan perasaan untuk mendengar Mp3. Headphone yang terpasang terus dicabut, dicampak pula ke atas katil. Wajah Hasif kelihatan tertekan menghadap kerja-kerja sekolah yang diberi oleh gurunya, terutamanya subjek Matematik membuat dirinya pening kepala dan bosan untuk menjawab. Sedangkan dia amat gemar akan subjek tersebut. Pen yang terjatuh tadi diambil lalu dia mengurut-urut kepalanya sambil melihat semula ke arah soalan tadi.
"Benda apa ni? Arghh!" Hasif semakin tertekan. Tiba-tiba terdengar bunyi pintu dibuka dengan kuat, Hasif hanya mampu memandang ke belakang seolah-olah dia melihat kejadian itu biarpun pintu biliknya tertutup. Kedengaran perkara yang lebih menekankan dirinya dengan jeritan yang diiringi tangisan budak kecil membuatnya geram lagi-lagi perkara itu sering berulang seperti kokokan ayam jantan di pagi hari.
"Mama..jangan lah pergi.. Papa tak buat tu semua. Papa sayang mama." tangis Hanif, adik kecil Hasif yang menarik Puan Aina dan menafikan perkara yang dikatakan ibunya.
"Adik nak ikut mama tak sayang? Biar kita pergi jauh, papa tak sayang mama dah. Mari ya. Papa asyik pukul mama saja." kata Puan Aina dengan air mata mengalir deras sambil melihat pada Encik Hazman yang berdiri menahan pintu rumah.
"Awak boleh tak kita berbincang? Tak payah nak bawa budak kecil ini masuk campur, kita bincang elok-elok lah." pujuk Encik Hazman, masih lagi menahan isterinya membuka pintu.
"Nak bincang apa lagi? Dah lama awak dengan perempuan tu kan? Sejak awak kenal dia, awak selalu pukul saya, keluar rumah pun seorang diri. Tak pernah pula awak nak bawa saya dengan anak-anak keluar jalan-jalan macam dulu lagi. Cukup lah, biar saya pergi. Ah, tepi lah! Jangan pegang saya lah, pergi saja kat perempuan itu. Hasif! Hasif! Mari ikut mama ya." Puan Aina terus meronta ingin membuka pintu rumah, semakin kuat pula tangisan Hanif meminta ibunya supaya jangan keluar tinggalkan mereka.
Hasif yang berada di dalam bilik hanya mendiamkan diri. Dia tidak mampu membuat apa-apa. Dia tidak lagi faham perasaannya sekarang. Dia sayang akan ibu dan bapanya, pada masa yang sama dia benci akan mereka berdua lagi-lagi hal yang sepatutnya dapat diselesaikan itu menjadi masalah besar. Dalam diam, Hasif memejamkan matanya lalu tertitis air mata kekecewaan.
"Hasif! Hasif!" panggilan itu mengejutkan Hasif daripada imbasannya. Dia mencari-cari empunya suara yang memanggilnya. Pandangan Hasif terhenti apabila matanya menangkap kelibat seorang gadis yang melambai-lambainya agar ke mari. Hasif tersenyum melihat sepupunya, Aisyah di luar pagar rumah neneknya. Tanpa melenggahkan masa, dia terus mendapatkan Aisyah yang berdiri di sudut pagar bersama basikal. Senyuman Aisyah menambahkan semangatnya untuk terus hidup.
"Nak pergi tak? Berkhayal je dari tadi. Jangan lupa bawa air itu." tanya Aisyah sambil bergurau seperti biasa, gadis itu yang menjadi pendorong Hasif bagi mengejar perkara yang dikatakan mustahil oleh dirinya sendiri.
"Nak lah. Tak ada maknanya nak berkhayal. Yalah, yalah, aku bawa lah ni. Sudah lah, jom." Hasif tersenyum gembira. Aisyah yang berada di belakang mengikut Hasif juga tersenyum mengenangkan sepupunya itu yang dulunya seorang yang pendiam mungkin kerana masalahnya yang dipendam seorang diri. Kini, Hasif seorang yang aktif berpetah dan lebih senang bergaul.
"Aisyah! Cepat lah sikit. Berkhayal ke?" Hasif berkata sambil tertawa girang sambil memandang ke belakang seolah-olah menyindir Aisyah.
"Tak ada lah. Pandang je lah depan. Sekejap lagi ada simpang tu. Hati-hati sikit." Aisyah menguatkan suaranya apatah lagi jaraknya dengan Hasif agak jauh. Tiba saja di simpang setelah menurun bukit dari rumah neneknya, Hasif berhenti sebagai langkah berhati-hati sebelum melintas. Setelah dia melintas, dia menunggu sepupunya di tepi jalan. Pandangannya terus pada Aisyah yang sedang menurun bukit sambil tersenyum. Tidak lama kemudian, senyumannya lenyap apatah lagi melihat Aisyah yang pantas menurun bukit seperti lembaga hitam berlalu sepantas kilat di hadapannya. Dia mula hairan, terserlah seribu kerutan di wajahnya.
"Aisyah! Perlahan lah sikit." laungnya dari jauh dengan harapan Aisyah mendengarnya.
"Tak boleh lah. Hasif...tolong!" jeritan Aisyah membuat Hasif cemas lagi-lagi kemunculan sebuah kereta pantas menuju ke simpang tersebut merumitkan situasi mereka.
"Hasif ! ! !" sekali lagi Aisyah menjerit, dia kelihatan hilang kawalan akan basikal kepunyaannya itu. Hasif memandang ke arah kereta Wira yang masih laju dan kelihatan tidak stabil sekejap ke kiri dan ke kanan menuju dirinya.
"Aisyah lompat je tepi ada kereta ni. Cepat!" Hasif cuba memberi cadangan kepada Aisyah. Berderau darah Hasif menyaksikan keadaan Aisyah.
"Aisyah ! ! !" Hasif pergi mendapatkan Aisyah yang terbaring di tengah-tengah jalan, kemalangan yang disaksikan Hasif sendiri memberi kesan kepada hatinya. Aisyah tidak menyedarkan diri, darah mengalir keluar. Kawasan yang tiada perumahan itu dipandangnya, kelihatan sunyi sekali simpang tersebut setelah bunyi geseran tayar kereta tadi. Pemandu kereta itu keluar dengan penampilannya yang selekeh.
"Itu lah... Lain kali hati-hati. Padan muka kau." kata lelaki mabuk itu lalu pergi. Hasif hanya memandang, dia risau akan Aisyah.
"Apa patut aku buat ni? Tidak guna aku duduk sini tunggu orang dan panggil-panggil nama Aisyah sambil nangis macam drama melayu. Apa-apa pun aku kena angkat dia ke tepi." dia bermonolog sambil cuba mengangkat Aisyah ke tepi jalan. Dia kekok apatah Aisyah seorang perempuan. Dia cuba menahan perasaan sedihnya. "Tahan Hasif. Kalau Aisyah ada, mesti dia buat benda yang sama."
"Er...banyaknya darah." Hasif hanya mampu menahan apatah lagi dirinya yang tidak boleh melihat dan menghidu bau darah. Basikal Aisyah ditarik ke tepi juga. Dia mengesat air matanya, sedih melihat Aisyah lalu menuju ke gerai Pak Man yang agak jauh dari tempat kejadian.
"Pak Man!" panggilan Hasif mengejut Pak Man yang kusyuk melayan cerita Hindustan.
"Eh, Hasif! Kenapa dengan baju kau itu?" Pak Man semakin hairan.
"Tolong saya Pak Man, Aisyah kemalangan tadi. Dia tak sedarkan diri. Tolong lah saya bawa dia ke hospital." setelah mendengar penjelasan ringkas itu, Pak Man bangun dan mengambil kunci keretanya.
"Aiman! Jaga kedai ya. Mari Hasif." Pak Man menarik Hasif lalu ke tempat kejadiaan tadi.
Tiba sahaja di situ, Hasif mengangkat Aisyah masuk ke dalam kereta. Pak Man menelefon keluarga Aisyah dan Hasif untuk memberitahu perkara yang terjadi.
Hasif melihat ke arah ibu bapa Aisyah yang berlari menujunya dengan keadaan cemas. Dia cuba menjelaskan semua yang telah terjadi. Ibu bapa Aisyah iaitu Puan Aina dan Encik Darus tidak bertindak menyalahkan Hasif malah memberitahunya agar mendoakan Aisyah. Hasif tersenyum apatah lagi melihat ibu bapa Aisyah yang sanggup ke mari walaupun mereka sibuk di pejabat. Terkenang nasibnya yang kurang kasih sayang orang tuanya lagi-lagi mereka sudah bercerai. Kini, dia tinggal bersama dengan neneknya sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia keluar. Ketika dia menekapkan kedua-dua tangan ke mukanya mengenangkan nasibnya itu, deraian manik-manik putih terus menitis di pipinya yang gebu.
"Doktor, anak kami bagaimana?" serentak suara ibu bapa Aisyah mengejutkan Hasif. Doktor membawa mereka masuk ke dalam wad Aisyah, gadis itu terbaring kemas dan tidak menyedarkan diri. Doktor juga menerangkan keadaan Aisyah yang mengalami cedera parah di bahagian kepala. Kemungkinan Aisyah akan mengalami penyakit amnesia. Hasif hanya memandang sepupunya sayu.
Keesokan hari keputusan Sijil Pelajaran Malaysia akan diumumkan, Hasif yang sudah merancang untuk ke sekolahnya bersama Aisyah terbantut. Oleh itu, dia menuju ke sekolah seorang diri.
Hasif menjengah, dia terus senyum setelah melihat Aisyah sudah boleh tersenyum, tergelak riang. Tanpa melenggahkan masa, dia masuk lalu menyalam Encik Darus yang menyambutnya.
“Aisyah bagaimana pak long?” tanya Hasif sambil mengukirkan senyuman.
“Setakat ini, keadaannya semakin pulih. Ada juga yang dia lupa. Cubalah tegur dia. Oh, saya hampir lupa! Keputusan Hasif bagaimana? Aisyah?” tanya Encik Darus tenang.
“Alhamdulillah. Saya dan Aisyah mendapat yang terbaik.” Mereka saling membalas senyuman.
Encik Darus membawa Hasif ke Aisyah. “Aisyah, ni Hasif. Ingat tak?”
Aisyah hanya mendiamkan diri, dia mengalihkan pandangannya ke Hasif lalu ke ayahnya. Terserlah wajah kebingungan setelah ayahnya bertanya sedemikian. Dia hanya menggeleng. Senyuman yang diukir perlahan-lahan menghilangkan diri. Hasif memandang Encik Darus.
“Tak akan Aisyah tak ingat, Hasif lah sepupu yang paling rapat dengan Aisyah.” Sekali lagi Aisyah menggeleng. Kamal yang kurang rapat dengan Aisyah, diingatnya pula.
“Tak apa lah pak long, mungkin Aisyah perlukan masa untuk pulihkan ingatannya.” Hasif cuba mengawal hatinya yang remuk-redam menahan kekecewaan. Selama ini hubungan mereka sebagai saudara, sahabat tambahan pula mereka berkongsi taikh lahir yang sama, dengan sekelip mata semua yang didepangi oleh mereka lenyap begitu sahaja. Dia memandang jam tangannya. "Pak long, Hasif minta diri dulu ya. Saya kena kemas beg untuk ke Sarawak esok."
"Baiklah, jumpa ibu ya?" Hasif mengangguk lalu menyalam Encik Darus. Dia pulang ke rumah neneknya dengan harapan Aisyah akan mengingatinya.
Hasif termenung menghadap ke kertas kosong di atas meja sambil bermain-main dengan pen, dia masih memikirkan tentang Aisyah. Dia tertanya-tanya, Apakah perkara yang patut dia buat bagi menolong Aisyah memulihkan ingatannya? Dia mengalihkan pandangannya ke atas, kipas siling yang bergerak ditatapnya. Tidak lama kemudian, dia terpandang gambarnya bersama Aisyah semasa menyambut hari lahir mereka sementelahan itu dia teringat akan cakra padat yang mengandungi rakaman peristiwa tersebut. Pada masa yang sama, dia ingin menukilkan kata-kata terakhir sebelum dia ke Sarawak. Warkah yang ditulis dimasukkan ke dalam sampul bersama cakra padat rakaman hari istimewa itu.
“Sebelum aku pergi ke Sarawak, aku akan singgah ke hospital untuk menziarahi Aisyah.” Monolog Hasif seorang diri sambil membaringkan badannya ke atas katil.
“Abang, boleh ke hospital Puteri dahulu?” tanya Hasif dengan sopan.
“Boleh.” Balas pemandu teksi itu tenang.
Hasif menuju ke wad Aisyah, dia masuk lalu meletakkan sampul surat itu di atas meja. Walaupun begitu, kelibat Aisyah tidak pula dilihat, hanya barang-barangnya sahaja. Hasif tidak melenggahkan masa lalu pergi dari situ. Dia terus ke lapangan terbang untuk berjumpa dengan ibunya, dalam perjalanan itu dia mendapati penglihatannya semakin kabur. Dia mengimbas kembali perkara yang dikatakan oleh doktor kepadanya pada hari kejadian.
"Bertuah Aisyah, ada orang yang lebih menyayanginya daripada diri orang tersebut." tegur doktor apabila Hasif menunggu seorang diri di luar.
"Maksud doktor?" Hasif hairan, dia sendiri tidak faham akan lata-kata doktor itu.
"Kamu tidak tahu?" doktor itu agak terkejut melihat Hasif. Hasif hanya menggeleng setelah doktor bertanya sebegitu. Doktor menghelakan nafasnya, sayu terserlah di wajahnya.
"Beginilah Hasif, Aisyah bukan saja yang dalam kesakitan malah kamu juga menghadapi kecederaan di bahagian belakang otak iaitu occipital lobe. Hal demikian kerana terdapat darah beku yang agak banyak di bahagian tersebut akibat kemalangan yang kamu hadapi dua tahun yang lalu. Bahagian ini mengandungi bahagian utama korteks visual. Kamu masih ada mata dan saraf optik yang tidak rosak, kontradiksinya kamu boleh disahkan buta. Darah beku ini boleh dibuang tetapi dalam masa yang singkat, jika dibuang, kemungkinan kamu masih boleh melihat mungkin tidak. Risiko yang lain ialah kamu akan mendepangi penyakit hilang ingatan seperti sepupu kamu dan maut." terangan doktor didengar oleh Hasif dengan teliti. Dia diam seribu bahasa, mungkin terkejut mendengar terangan tersebut tetapi dia cuba menerima dengan tenang. Doktor juga telah memberi sarangan kepada Hasif agar membuat pembedahan ini di England kerana tiada doktor yang pakar bahagian tersebut pada masa itu.
Hasif memandang keluar tingkap pesawat, dia berfikir panjang tentang kesakitan yang dialaminya. Keadaan Aisyah juga terlintas difikirannya. Bagaimanakah keadaan Aisyah? Adakah dia membaca warkah dan menonton rakaman yang aku beri tadi? Adakah barang itu sampai kepadanya?
Sudah tiga tahun berlalu, Aisyah telah melanjutkan pelajarannya di Moscow dalam bidang perubatan. Dia mengemas barang-barangnya ke dalam beg. Bilik pula dikemas agar tiada peralatan yang tertinggal di sana. Tiba-tiba dia terjumpa sampul surat bersama cakra padat di bawah katilnya.
"Benda apa ni?" tanyanya sendirian. Berkerut wajahnya melihat nama yang dicoret pada sampul itu. "Hasif? Dia siapa?" dia cuba mengingat kembali tentang jejaka ini. Dia mengambil komputer ribanya lalu memasang cakra padat itu. Terpapar sambutan hari jadi Aisyah dan Hasif. Aisyah agak terkejut melihat rakaman itu. Dia membaca surat yang dikirim oleh Hasif.
Kehadapan sepupuku yang dirahmati Allah S.W.T,
Sebagai mukadimah warkahku ini, aku ingin memperkenalkan diri ini sebagai Hasif iaitu sepupu saudari. Aku sebagai saudara, sahabat yang berkongsi tarikh lahir bersama. Mungkin saudari belum pulih lagi selepas kemalangan yang ditimpa, kejadian yang aku saksi dengan sepasang bola-bola sinarku memberi impak kepada hati. Masih jelas dalam ingatanku percikan darah di wajah bahkan bajuku juga terkena. Semasa itu juga aku bersusah payah cuba menolong saudari tetapi aku gagal mengelakkan kejadian limpahan darah itu.
Saudari,
Tujuan aku menukilkan kata-kata dalam warkah ini ialah aku mahu saudari ingat kembali akan kenangan-kenangan kita bersama. Aku mahu saudari imbas kembali saat-saat kebahgian, kesusahan justeru semua yang kita depangi. Aku juga mahu melestarikan hubungan persaudaraan dan persahabatan yang baik menjadi lebih baik.
Pada saat aku dalam kesusahan dulu, saudari datang menjemputku ke alam yang lebih tenang. Saudari bagaikan cahaya hidayah yang Tuhan berikan kepada aku. Setiap masalah aku kongsi bersama saudari. Saudari mengajarku erti hidup, saudari juga mendidikku agar meluaskan horizon pemikiranku agar aku dapat mencapai kejayaan.
Pada saat saudari sedar selepas kejadian, hatiku melonjak kegembiraan melihat saudari boleh senyum dan bergelak ketawa lagi. Senyuman saudari akan aku ingat hingga ke penghujung hayat. Malangnya, apabila aku cuba menghampiri saudari, saudari lupa, langsung tidak ingat akan diriku yang hina ini. Gelengan saudari membuat aku kecewa, kekecewaanku disambut dengan butir-butir kristal mengalir di pipi. Terserlah wajah kebingungan saudari. Aku yang dikatakan rapat dengan saudari, dengan sekelip mata sahaja saudari lupa akan aku.
Walaupun begitu saudari, aku sedar. Semua yang terjadi, ada hikmah disebaliknya. Aku percaya, satu hari nanti kita akan bersemuka dan ingatan saudari akan pulih. Mungkin warkah dan rakaman tersebut belum cukup untuk memulihkan ingatan saudari. Maaf jika surat yang dikirim ini menyinggung perasaan Aisyah.
Sebagai akhir bicara ini, aku berharap ingatan saudari semakin pulih walaupun sedikit. Aku juga pohon daripada saudari agar jangan sesekali jemu untuk mengukirkan senyuman kerana senyuman saudari dapat mengubat hati sesiapa sahaja. Salam kasihku kepada saudari. Semoga sihat sejahtera bersama keluarga tersayang.
Sekian,
Sepupumu,
Mohd. Hasif
Setelah membaca warkah yang dikirim tiga tahun lepas itu, Aisyah cuba mengingat kembali semua kenangan bersama Hasif. Dia kemas lalu bergegas ke lapangan terbang dengan harapan dapat berjumpa dengan sepupunya apatah lagi hari itu adalah hari lahir mereka berdua.
Hasif menghadap ke langit. Dia kecewa akan Aisyah yang tidak hadir di majlis hari jadi mereka di rumah nenek. Dia terus menganggapkan Aisyah sudah melupakannya, gadis itu bukan lagi orang yang sama. Dia tersenyum mengingat kembali warkah yang dicoret olehnya.
"Ces, habis masa sahaja aku tulis surat itu, menangis kerana dia. Semuanya buang masa." kata Hasif sendirian. Dia amat kecewa. Aisyah yang berdiri di belakang terkaku apabila mendengar luahan Hasif tetapi dia cuba memahami jejaka itu.
"Hasif..." panggilnya lembut. Terkejut Hasif sambil mengalihkan sedikit kepalanya ke arah suara Aisyah. Dia senyap.
"Hasif marah saya ya. Maafkan saya, saya sudah banyak susahkan awak." kata Aisyah lembut tetapi Hasif masih mebisu. "Tak apa, syukur Alhamdulillah. saya masih boleh melihat, bercakap dengan awak. Saya ada bawakan awak hadiah. Selamat hari lahir." Aisyah masih bertahan walaupun hatinya sedikit terguris.
"Kenapa awak belikan hadiah? Saya tak nak." kata-kata Hasif membuat hati Aisyah semakin terguris.
"Kena.." sebelum Aisyah menghabiskan persoalan yang hendak diberi, Hasif menyelah.
"Saya belum habis cakap lagi, saya tak nak hadiah tu sebab saya dah dapat benda yang saya nak iaitu awak. Terima kasih kerana cuba mencari saya kembali dalam memori awak, hadiah yang awak beli tu tak setanding dengan yang saya dah dapat sekarang. Biarpun saya tidak boleh lagi melihat awak, terutamanya senyuman awak, saya tetap akan ingat awak. Ingatan saya terhadap awak tak akan luput. Sekali lagi, Aisyah, terima kasih." Hasif mengata perasaannya sambil terpandang dilangit. Rindu akan nikmat yang diberinya dahulu.

Thursday, August 25, 2011

Kali Pertama


Kali Pertama


“Budak baru tu boleh tahan smart lah tapi dia asyik tengok kau je dari tadi kenapa?” Tanya kawan Auji iaitu Husna. Auji melayan kata-kata Husna ala kadar saja. Dia terus memandang ke arah buku yang dipegangnya.


“Weh, aku Tanya ni!” Husna mencuit Auji.


“Biar lah dia. Mata dia, bukan mata kau. Kau sibuk apasal? Dah syok kat budak baru tu ke?” kata Auji dengan nada sinis.


“Tak ada maknanya. Aku yang sorang lagi tu.” Husna tersengeh. Sebelah kening Auji diangkat, dilihat pula rakannya.

“Ish! Ish! Ish! Muda-muda dah pandai.” Auji menggelengkan kepala.

“Eh, hidup kita ni perlu merancang tahu, apa salahnya.” Kata Husna lalu meneruskan kerja yang diberi oleh guru. Kedatangan pelajar-pelajar baru ini langsung dihiraukan Auji, seolah-olah mereka ini tidak akan memberi impak kepadanya. “Kenapa lah banyak pelajar baru masuk sekolah ni? Kelas depan ada, kelas belakang ada. Harap kelas tengah saja kekal abadi setia dengan keasliannya. Ops! Selamat aku cakap sendiri, kalau ada kawan aku sorang tu habis aku dikerjakan.” Katanya sendiri ditempat duduknya.

Pada waktu rehat, macam biasa dia akan keluar kelas bersiar-siar tetapi laluan yang selalu dipakainya dihalang oleh si pelajar baru. Wajah Auji berkerut. “Pantang nenek moyang aku ada orang sekat laluan yang aku salu guna. Tak boleh jadi mamat baru ni.” Katanya perlahan.

“Kau Ikmal kan?” Tanya Auji sepontan. Dia hanya menghiraukan kaum lelaki yang lain-lain. Ikmal hanya mengangguk dan dipandangnya gadis yang berani meneggurnya buat kali pertama. Dia tersenyum.

“Apa senyum-senyum? Kau boleh tepi sikit tak? Aku nak lalu.” Kata Auji dengan tangannya bergerak seakan-akan menghalau lelaki itu pergi. Walaupun begitu, Ikmal masih berdiri di situ. Dia hanya diam seribu bahasa, senyuman dijadikan derma hari tu. Wajah Auji semakin merah, geram dengan apa yang dibuat oleh Ikmal.

“Weh, kau kelas sebelah kan? Kenapa mari sini? Sibuk je. Pergi balik kelas kau lah. Aku nak lalu ni.” Auji menghalau, tetapi Ikmal tetap berdiri di situ.

“Kau tak ada jalan lain ke nak lalu. Biar lah dia diri sini. Kau tu yang sibuk je, nak ngorat cakap je lah…woo..!” seorang daripada sekumpulan lelaki berkata lalu bersorak, dituruti rakan-rakannya yang lain. Auji tercengang tidak tahu apa yang nak dikata lalu dia pergi dari situ. Sorakan itu disambut dengan gelak ketawa. Wajah Auji kelihatan merah. “Buat aku malu je lah. Bengang rasa.” Kata Auji seorang diri sambil keluar dari kelas. Dia terus berjalan ke kelas hadapan, dia berborak dengan rakan-rakannya yang lain. Dikongsinya peristiwa tadi.

“Tadi tu siapa?” Tanya Ikmal ringkas, keinginan untuk tahu dan berkenalan dengan gadis itu timbul.

“Tadi tu Auji, kenapa?”

“Saja, nak Tanya.” Kata Ikmal.

“Ya ke? Ke..terpikat sudah..” mereka ketawa bersama-sama. Sesudah saja waktu rehat, Auji masuk. Ikmal yang berada di luar kelas memandang Auji dari jarak jauh. Keinginannya itu semakin membara bak duduk di tepi matahari. Tanpa melenggahkan masa, dia terus ketempat Auji.

“Awak tengah buat apa?” Tanya Ikmal. Auji hanya memandang ke arah Ikmal sambil wajahnya dikerutkan.

“Boleh saya duduk sini?” Tanya Ikmal lagi, tangannya menarik kerusi di depan tempat duduk Auji. “Kenapa mamat ni bersaya awak ni?” kata Auji.

“Apa? Saya tak dengar?” pertanyaan ditujukan. Ikmal mahu memulakan perbualan dengan Auji. Mengambil kesempatan kata kan…

“Tak ada apa-apa.” Kata Auji sambil menggelengkan kepalanya.

“Ok, boleh tak duduk ni?” Tanya Ikmal lagi.

“Duduk lah.” Pelawa Auji.

“Terima kasih awak.”

“Kenapa pakai saya awak?” Auji bertanya.

“Salah ke? Tak biasa? Saya tukar.”

“Suka hati lah..” kata Auji.

“Ok, awak duduk kat mana?” Ikmal bertanya dengan sepontan. “Ish! Mamat ni, aku ingatkan nak guna aku kau tapi guna juga saya awak.” Kata Auji perlahan.

“Apa awak cakap?” Ikmal tersenyum mendengar apa yang dikata Auji, walaupun sudah didengarnya, dia sengaja pertanyakan soalan itu.

“Eh, apa awak Tanya tadi?” Auji sengaja membuat terkejut.

“Saya tanya, awak duduk kat mana?”

“Lah..tak akan tak nampak. Saya tengah duduk kat atas kerusi ni. Tahap kritikal tu kalau dah tak nampak.” Kata Auji dengan senyuman manis terukir. Ikmal tersenyum, terangkat keningnya. Tak sangka itu yang dijawab oleh gadis itu.

“Saya nampak, bukan itu maksud saya. Awak tinggal kat mana?” tanya Ikmal sambil membetulkan kedudukannnya.

“Ooo..saya tinggal kat rumah lah.”

“Ya lah, tapi kat mana?” Ikmal tertawa.

“Kat atas bumi.” Jawapan ringkas diberi.

“Aduh..susahnya nak cakap dengan awak. Tak sangka begitu susah nak kenal perempuan. Banyak konflik.” Kata Ikmal sambil melihat ke pintu depan, tiada pula kedatangan guru atau sesiapa memanggilnya ke kelas. “Kalau susah pergi lah balik kelas. Sibuk je.” Kata Auji pada dirinya sendiri.

“Apa?” tanya Ikmal.

“Tak ada apa-apa.. Mendung cuaca hari ni kan..”

“Ha’a.., awak, saya nak balik kelas dah ni. Boleh bagi nombor tak?” minta Ikmal tanpa ragu-ragu sambil mengeluarkan pen dan sekeping kertas.

“Nak nombor? Ok, 96..” sebelum Auji menghabiskan kata-katanya Ikmal menyelah.

“Eh, nombor apa awak bagi ni?” tanya Ikmal hairan mendengar permulaan nombor itu.

“Nombor IC.” Jawap Auji ringkas.

“Saya nak nombor telefon lah, boleh tak?” Ikmal tertawa.

“Ooo..014…….tekan-tekan tak dapat.” Kata Auji sambil tertawa.

“Sengaja ya nak main-main, harap tempat ni publik je. Kalau tak, tak lama dah ni.” Kata Ikmal. Bulat mata Auji dibuatnya.

“Nak bagi ke tak ni?”

“Bukan tak nak, mak saya tak bagi jual nombor kat orang yang saya tak kenal.”

“Kenapa? Awak kan dah kenal saya.”

“Ya lah… saya tak percaya kat awak. Awak nak buat apa dengan nombor tu?”

“Awak tak percaya kat saya? Saya nak contact awak lah.”

“Ha’a, saya tak percaya.”

“Ok, awak nak tahu.. hari tu saya pergi Korea jumpa Jun Pyo.” Kata Ikmal, diangkat pula keningnya berkali-kali.

“Ya ke? Apa saya kisah.” Kata Auji.

“Eh, tu awak percaya kat saya! Saya bukannya peminat Korea.” Kata Ikmal sambil tersenyum. Tercengang Auji.

“Sudah diam seribu bahasa ya..”

“Mana ada. Ok, ambil lah nombor ni….” Nombor telefonnya diberi kepada Ikmal. Tersenyum Ikmal lalu pergi dari situ. “Terima kasih.”


Husna kembali ke tempatnya setelah Ikmal beredar dari situ.

“Wau, mesra Nampak tadi!” kata Husna.

“Senyap lah kau.” Kata Auji.

Setelah lama berkenalan, setiap malam jari bergerak pantas menekan punat-punat telefon, setiap hari masa dihabiskan bersama. Terasa hati sudah terpaut, masing-masing ingin tahu perasaan si dia. Walau bagaimanapun, sepahit mana ubat akan jua habis. Selama mana pertemuan akan ada juga perpisahannya. Auji ditawarkan ke sekolah berasrama penuh yang diminatinya. Dia perlu memikirkan antara dua, adakah perasaannya penting ataupun pendidikannya? Dia memilih pendidikan. Oleh itu, dia pasrah mahu meninggalkan Ikmal walaupun dia tidak tahu sama ada perasaannya dibalas.

Sehari sebelum sekolah semasa cuti panjang, Auji mengatakan perkara ini kepada Ikmal. Ikmal terdiam, ukiran senyumannya terus hilang. Kata Auji ayahnya mahu menghantar dia ke sana esok.

“Auji kena pergi ke?” tanya Ikmal dengan nada sedih.

“Ya lah. Pendidikan lebih penting. Saya nak kejar kejayaan saya nanti.” Auji senyum, tidak mahu menunjukkan perasaannya.

“Tak payah lah pergi. Kat sini pun boleh belajar, saya pun ada.”

“Tahu, tapi saya nak pergi.”

“Kenapa?” wajah Ikmal dikerutkan.

“Sebab saya berminat nak pergi. Maafkan saya, minta diri dulu ya.” Kata Auji lalu mengorak langkahnya.

“Eh, jangan lah pergi lagi. Tak nak luangkan masa dengan saya? Tak sayang saya?” tanya Ikmal.

“Tak boleh lah awak. Saya nak siapkan barang-barang untuk ke sana.”

“Ala..jangan lah lagi.”

“Kenapa awak tak bagi saya pergi? Kita kan boleh contact lagi kan..jangan risau lah. Lebih-lebih lah pula awak ni.”

“Saya tak nak awak pergi sebab…” Ikmal diam.

“Sebab apa?”

“Sebab….”

“Sebab apa Ikmal!?” tanya Auji dengan nada yang kuat.

“Sebab saya cintakan awak!” cepat saja perkataan itu terkeluar. Ikmal menutup mulutnya. Dia takut Auji tidak akan membalas perasaannya. Dia bimbang. Selama ini, tidak pernah dia merasakan cinta antara dia dengan seorang gadis. Apabila sudah terasa, perasaan itu bagaikan sia-sia saja. Kedua-dua insan itu senyap. Masing-masing tak tahu nak kata apa.

“Maafkan saya.” Auji terus pergi dari situ. Dalam gembira ada sedih terasa. “Saya pun cintakan awak.” Katanya sendiri dengan nada perlahan sambil berlari masuk ke dalam rumah.
Ikmal masih tercegat di situ. Apakah ini takdirku? Semasa rehat, Ikmal memandang jamnya.


“Aku rasa dia dah bertolak ke sana.” Katanya sendiri. Dia menundukkan kepalanya.

“Hai Ikmal.” Suara itu bagaikan tidak dipercayai. Dia memandang ke arah datangnya suara itu. Suara yang datangnya daripada seorang gadis yang tersedia duduk di depannya. Senyuman terukir.

“Hai. Kenapa?”

“Saya nak luangkan masa dengan awak. Minggu depan baru saya pergi. Lagipun ayah saya ada hal.” Terang Auji.

“Terima kasih. Boleh lagi doa ni. Ya Allah, Ya Tuhanku, moga-moga Auji tak akan tinggalkan sekolah ini. Amin…”

“Ei, orang nak pergi untuk kebaikan tahu!”

“Ya lah, ya lah.. Sorry..” Ikmal tersengeh. Masa rehat itu, lapar ditahan, kebulur pun tak apa untuk si dia.

“Awak, fasal semalam tu…simpan antara kita je ya. Saya pun cintakan awak.” Kata Auji.

“Ha? Saya tak sangka.” Senyuman Ikmal semakin lebar.

“Saya pun tak sangka.”

“Terima kasih.” Kedua-duanya ucap serentak. Mereka ketawa gembira.
Setibanya waktu perpisahan, Ikmal hanya mampu melihat dan tersenyum. Pesanan Auji pula disemat dalam hati.


“Awak belajar rajin-rajin ya.. nanti Insya-Allah kita boleh jumpa lagi. Ingat, saya sayang awak.” Bukan senang nak berpegang kepada perasaan.

“Perasaan cinta kali pertama ini, Ikmal pegang sampai bila-bila Auji.” Kata Ikmal.

Saturday, August 13, 2011

Andainya Aku Tahu







ANDAINYA AKU TAHU

Sudah sekian lama mereka berkahwin tetapi masing-masing dengan cara hidup sendiri. Azrul berdiri dan termenung keluar tingkap, teringat akan buah hatinya yang jauh dari pandangan tetapi dekat di hati. Bintang-bintang di langit ditatapnya lama, indah sungguh kejadiaan Tuhan. Sekian lama memikir, telefon bimbitnya yang dibuat silent bergetar. Dia mencapai telefon tersebut lalu tersenyum apatah lagi si dia yang menghantar SMS. Tanpa rasa ragu-ragu dia terus membalas, hilang perasaan gelisahnya tadi.

Tiba-tiba pintu biliknya yang tidak terkunci itu terbuka, lantas dia memandang. Seraut wajahnya berubah setelah gadis itu masuk ke dalam bilik lalu dia berpaling semula pada telefon bimbitnya. Disebabkan wasiat bapanya, hasrat untuk melamar si dia terbatal. Farah hanya membalas pandangan Azrul sebentar tadi dengan senyuman. Dia tahu Azrul benci akan dirinya. Dia memeluk bantal yang biasa dipeluknya seperti malam-malam yang lalu. Dia merasakan bantal itu saja yang menjadi peneman tidurnya.

Pada masa yang sama, Azrul membalas SMS yang terakhir kepada Liya buat malam itu. Ucapan selamat malam diberi dengan gambar hati yang tertulis I LOVE U. Selepas itu, dia bangun lalu menuju ke katil. Telefon bimbitnya diletakkan ke tepi, dia membaringkan tubuhnya di atas katil. Tanpa memandang pada Farah, dia terus memejamkan matanya.

“Abang..” sayu kedengaran suara itu. Azrul membuka matanya lalu mengeluh.
“Nak apa?” Tanya Azrul dengan nada marah sambil berpaling ke arah Farah.
“Maafkan saya, saya tahu abang benci saya.. tapi saya sayang abang. Saya nak tengok abang bahagia, jadi saya dah buat keputusan. Kalau abang nak dia, pergi lah bersama dia. Saya rela. Abang tak layan saya pun tak apa.” Kata Farah sambil tersenyum. Azrul tercengang, diam seribu bahasa. Dia tidak tahu apa yang patut dikatakan, sama ada terima kasih ataupun isterinya sudah tak waras. Pandangannya masih pada Farah, wajahnya masih berkerut.
“Selamat malam abang.” Ucap Farah lalu memeluk bantal tadi dan memejamkan matanya. Azrul memandang ke atas. “Aku patut buat apa? Betul ke apa yang dikatakan tadi? Aku mimpi tak.” Katanya sendiri. Dia mengurut kepalanya lalu melihat ke arah Farah. Dia mendekatkan dirinya dengan Farah, tanpa memikir panjang pelukan mesra diberi. Farah membuka matanya, terkejut dengan tindakan Azrul. Dia memandang pada wajah Azrul yang tersenyum itu. Hal ini membuatkan dia gembira lalu senyuman Azrul dibalasnya.

Keesokan hari, Farah mengemas barang-barang Azrul ke dalam beg sebagaimana
yang diarahkan. Azrul bertolak pagi itu. Walaupun begitu, dia tidak lupa untuk memeluk isterinya buat kali ini. Farah hanya mampu tersenyum melihat suaminya pergi, hatinya cukup sedih bagaikan ditikam pisau berkali-kali.

Perjalanan selama empat jam membuatkan dia letih. Walaupun begitu, dia mahu meneruskan hasratnya itu. Kedengaran salam dan ketukan pintu, mengejutkan Liya. Dia menjawap salam lantas membuka pintu tersebut. Azrul hanya tersenyum. Penampilannya dengan kemeja dan seluar jeans menarik perhatian semua orang di rumah itu. Liya terkaku.

“Lah, kenapa tak jemput tetamu tu masuk? Jemput lah masuk Azrul.” sapa Puan Ramlah lalu menjemput Azrul masuk. Diminta pula Liya membuatkan air. Giat sungguh mata Azrul memandang Liya, tidak terkelip pun ada. Sebermulanya perbualan mereka, Azrul mengutarakan tujuannya kemari. Dengan percakapannya yang lemah lembut dan tegas itu menarik minat ibu bapa Liya. Oleh itu, mereka bersetuju dengan Azrul. Azrul dan Liya tersenyum, gembira dengan keputusan itu.

Apabila sudah dikatakan begitu, setiap persiapan perkahwinan antara mereka berdua semakin lengkap. Persiapan demi persiapan selesai. Masa terluang Azrul hanya diluangkan bersama Liya. Sesudah saja angkat nikah selesai, sah lah hubungan mereka. Selepas itu, Azrul membawa isterinya itu pergi berbulan madu, tinggal lah Farah di rumah menaruh rindu. Farah setia menunggu Azrul, dia sanggup bermadu bagi kebahagiaan suaminya. Dia balik ke rumah Puan Amalin iaitu ibu kepada Azrul. Pada masa itu, Farah disahkan sudah berbadan dua. Dia tidak mahu memberi tahu keadaannya itu kepada Azrul, anggapnya perkara ini saja akan mengganggu Azrul dan Liya. Perkara ini disimpan.

Pada suatu hari, Farah demam panas. Diberi makan ubat tidak berkesan mahupun secara traditional. Kandungannya itu sudah cukup tiga bulan. Farah terbaring keletihan, badannya menanggung sakit. Diluar dan di dalam. Menahan sakit badan lagi-lagi menahan sakit di hati. Rindu akan suaminya itu tidak terhingga.

“Farah… ibu bagitahu Azrul ya.” Pujuk Puan Amalin kepada menantunya itu. Risau juga kelihatan di wajahnya.
“Tak payah lah ibu. Farah ok saja. Farah tak nak ganggu abang Azrul.” Katanya sayu.
“Ish! Bertuah sungguh. Ibu bagitahu juga. Ini boleh menjejaskan kandungan Farah.” Farah hanya melihat ke arah ibu mertuanya. Dia hanya tersenyum. Puan Amalin tak mahu tunggu lama lagi. Dia mahu segera memberi tahu perkara ini kepada Azrul. Telefon bimbitnya dicapai lantas menelefon Azrul.

“Helo.” Kedengaran suara dari telefon.
“Helo, Azrul?”
“Ya ibu, ni Azrul. Kenapa telefon? Ada apa-apa ke?”
“Bila Azrul nak balik?” pertanyaan Azrul dihiraukan.
“Insya-Allah, esok.” Jawap Azrul ringkas.
“Balik cepat sikit ya, Farah demam panas. Dah nak masuk seminggu.”
“Ha? Kenapa tak cakap awal-awal?”
“Dia tak bagi, takut ganggu Azrul dengan Liya katanya.”
“Hm…baiklah, Azrul balik sekarang juga.”
“Bagus lah macam itu. Drive elok-elok ok.” Dalam geram juga Puan Amalin memesan Azrul agar berhati-hati semasa memandu.
“Ok ibu. Bye.” Telefon ditutup. Puas hati Puan Amalin setelah memberi tahu perkara itu kepada Azrul.

Sebagaimana yang dipesan oleh ibunya, dia berhati-hati semasa memandu. Tiba saja di rumah, dia bersalam-salaman dengan ibu dan ayahnya.

“Farah mana ibu?” Tanya Azrul sambil mencari-cari kehadiran Farah. Tak mungkin sudah tidur. Baru sahaja pukul sembilan. Azrul kenal isterinya seorang ini suka tidur lewat. Sering saja membaca novel hingga lewat malam. Maklumlah dulu Azrul hanya menghiraukan isterinya itu.

“Ada dalam bilik. Jangan terkejut tau nanti bila masuk.” Encik Hamdan berkata sambil tersenyum. Azrul hairan, tertanya-tanya apa yang dimaksudkan itu. Dia membuka pintu bilik, menjengah seketika. Farah hanya terbaring di atas katil. Dia membuka lagi pintu dengan luas. Beg yang dipegang terlepas.

“Betul ke apa yang aku lihat ini?” tanyanya kepada diri sendiri. Dia mengambil semula begnya lalu mencampakkan beg itu ke tepi. Dia menutup pintu. Langkahnya laju ke arah Farah. Farah yang separuh sedar akan kehadiran suaminya itu tersenyum. Azrul mengusap dahi Farah, dia melihat Farah dari hujung rambut ke hujung kaki. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya sekarang.

“Abang…” sayu perkataan itu disebut.
“Ya sayang, kenapa tak bagitahu abang?”
“Tak nak ganggu abang.” Kata Farah ringkas. Dia mengusap perut Farah, lalu tersenyum.
“Abang akan jaga sayang ya.. tak nak tinggalkan sayang dah kali ini. Janji..” Katanya dengan semangat.
“Sayang pun tak mahu tinggalkan abang. Sayang janji.”
Apa yang dikatakan itu dia tunaikan. Setiap makan minum Farah, dia uruskan. Setiap masa mereka bersama, bergelak ketawa bersama, bersedihan pun bersama. Masa Azrul hanya untuk Farah sehingga kandungan Farah cukup Sembilan bulan. Walau bagaimana pun, setiap kebahagiaan ada masalahnya. Sepanjang Azrul tiada, Farah tidak berseorangan petang-petang. Zamri sering membawanya berjalan-jalan di tanam. Hari itu, Zamri datang ke rumah biarpun tahu tentang Azrul sudah pulang. Tengahari itu, Zamri mengajak Farah berjalan bersama di taman untuk petang nanti. Azrul apalagi, naik marah. Dimarahnya lelaki itu sepenuh hati.

“Eh, apa kau ingat kau bagus sangat? Dengar ni, baik kau jaga dia elok-elok. Sepanjang kau hidup dengan dia dulu mana kau nak luangkan masa dengan dia. Dia dah bagi apa yang kau nak baru nak layan dia. Macam tu ke? Kau memang tak guna. Baik aku daripada kau. Selama ni aku yang teman dia waktu petang.” Kata Zamri dengan lantang. Berkerut wajah Azrul. Dia memandang kepada Farah kemudian kepada Zamri. Farah kelihatan cemas. Azrul terus masuk ke dalam.
“Abang.” Lontaran suara itu menghentikan langkah Azrul seketika tetapi tidak lama dia terus masuk.
“Awak tu yang tak guna.” Jerit Farah kepada Zamri. Tercengang lelaki itu dibuatnya. Farah terus masuk ke dalam rumah.
“Abang..” suara itu membuatkan kemarahan Azrul reda.
“Maafkan saya. Saya salah.”
“Senyap lah. Cukup. Satu, tak bagi tahu abang. Lepas tu, keluar dengan lelaki tu. Apa sayang ingat sayang siapa?”
“Sayang isteri abang. Saya….” Belum saja Farah sempat habiskan ayatnya.
“Cukup!!” Tengkingan daripada Azrul mengejutkan Farah. Azrul memandang wajah Farah dengan bengis lalu melanggar Farah sehingga terjatuh ke lantai. Dia teruskan langkahnya.
“Aduh! Abang, jangan lah buat saya macam ni.” Kata Farah kesakitan. Kelihatan darah mengalir keluar dari Farah. Dia hanya mampu menahan sakit. Azrul memalingkan pandangannya pada Farah. “Abang, tolong saya. Sakit…” Farah menangis, terserlah wajah kesakitannya. Azrul berpatah semula ke Farah lalu mengangkat isterinya itu. Dia bergegas ke hospital. Setibanya di situ, Farah dibawa ke bilik kecemasan. Azrul ditahan.
“Encik, tunggu sekejap.” Kata jururawat itu.
“Kenapa? Saya tak boleh masuk ke? Saya suami dia.” Kata Azrul cemas.
“Bukan macam tu, tadi doktor ada bagi maklumat ini kepada saya untuk diberikan kepada encik. Kemungkinan salah satu daripada mereka akan pergi, sama ada bayi tersebut atau ibunya. Risiko isteri encik amat berbahaya boleh menjejaskan bayi. Darahnya tidak berhenti. Kemungkinan juga kedua-duanya sekali tidak selamat.” Selesai saja maklumat itu diperkatakan jururawat itu terus masuk. Azrul tidak tahu apa patut dikatakan lalu dia masuk ke dalam  untk  melihat  isterinya itu. Dia memegang tangan isterinya, memberi semangat buat kali terakhir ini. Farah kelihatan tidak berputus asa. Kuat sungguh dirinya melawan kesakitan. Kedengaran tangisan bayi meredakan keadaan. Darah terus mengalir keluar. Azrul memandang ke arah doktor, doktor hanya menggelingkan kepala. Pandangannya kembali pada isterinya. Farah tersenyum.

“Kenapa sayang senyum?” Tanya Azrul.
“Nanti abang jaga anak kita dengan dia ya.. Tak sia-sia keputusan saya.”
“Tapi…” belum sempat Azrul berkata apa-apa. Farah meletakkan jari telunjuknya ke bibir suaminya.
“Abang jaga Darwish elok-elok. Saya nak nama tu diberi kepada anak kita. Biar lah saya tanggung sakit saya, abang jaga hati dia ya, jaga diri abang juga untuk saya. Abang jangan sedih-sedih. Berhenti lah menangis lelaki kan kena kuat. Saya sentiasa maafkan kesilapan abang. Terasa bahagia dapat bersama dengan abang walaupun sekejap. Saya sayang abang tau.” Air mata Azrul dikesatnya. Azrul hanya memandang ke arah Farah. Farah semakin lemah, dia menghembuskan nafas yang terakhir. Kedengaran tangisan bayi mengiringi kepergian ibunya. Air mata Azrul terus mengalir.
“Maafkan abang sayang.. abang kesal.” Tangan isterinya dikucup, diusap pula pipi. Peningglan itu membuatkan Azrul betul-betul kesal. Bayi itu diberikan kepada ayahnya. Azrul memandang bayi itu. “Darwish.” Dia tersenyum. Azan pula di sayu kedengaran. Tersenyap si bayi itu.
“Comel sungguh anak ayah macam ibunya juga.” Kata Azrul. Bayi itu diserahkan semula kepada jururawat tadi agar boleh dirawat selanjutnya. Urusan jenazah Farah diurus dengan lengkap. Kucupan terakhir buat Azrul sebelum dikebumikan. Perkebumian juga selesai sebelum asar. Azrul masih terduduk di tepi makam isterinya. Langit juga mendung, hujan mula turun. Disentuhnya makam itu.

“Sayang janji tak nak tinggalkan abang.” Kata Azrul lalu pergi dari situ.

Kenduri arwah juga dilakukan, Yaasin dibaca untuk si mati. Sehabis saja kenduri itu, Azrul menatap gambar Farah yang disimpannya. Kenangan terindah masih lagi dapat dibayang.

“Buat bersabar ya Azrul.” Kata Encik Hamdan. Azrul hanya mengangguk. Dia terduduk di atas katil, di terus membaringkan tubuhnya. Tiada pula selera makan. Dia memejamkan matanya…

…..“Abang..” suara Farah masih terngiang-ngiang, sentuhan lembut masih boleh terasa. Dia memalingkan pandangannya ke sisi. Di suatu sudut biliknya, kelihatan Farah berdiri dengan penampilannya yang serba putih.
“Sayang?” Azrul terus terbangun daripada baringannya tadi.
“Ya abang, maafkan saya abang. Dah mungkir janji saya dengan abang. Saya sayang abang, jaga diri elok-elok ya. Selamat tinggal abang.” Kata Farah, kedengaran suaranya lembut menusuk hati Azrul.
“Jangan tinggalkan abang..” sebelum dapat Azrul pergi ke arah Farah. Farah hilang begitu saja.

….mimpi itu membangunkan Azrul dari tidurnya. Dia melihat ke arah sudut bilik itu di mana Farah berdiri tadi. Azrul menekup wajahnya. Air mata terus mengalir. “Abang maafkan sayang.” Dia melihat gambar Farah.

“Andainya aku tahu dia akan pergi.”